Khamis, 1 Oktober 2009

Keruntuhan Moral

Isu keruntuhan moral dalam kalangan remaja menjadi tajuk perbualan hangat dewasa ini. Malah dari sehari ke sehari, masalah ini menjadi semakin kronik. Masalah ini begitu ketara di bandar-bandar besar.

Golongan remaja hari ini terlalu ghairah untuk meniru cara hidup Barat yang berunsur negatif. Kebanyakan remaja berasa megah apabila berambut punk, berpakaian selekah, berfoya-foya di taman-taman hiburan, bergaul bebas tanpa batas, melepak di pusat beli-belah dan mengamalkan pelbagai tingkah laku hyang tidak sopan. Tingkah laku mereka bukan sahaja tidak sesuai dengan adat sopan dan kebudayaan Timur, malah bertentangan dengan nilai agama.

Masalah ini berpunca daripada kurangnya didikan agama daripada ibubapa. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini lebih mementingkan soal ekonomi dan kebendaan. Tanpa disedari mereka, tanggungjawab mereka terhadap anak-anak telah terabai. Sehubungan itu, masalah keruntuhan moral juga berpunca daripada kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa lebih bersedia memberikan wang kepada anak-anak tetapi tidak kasih sayang dan perhatian. Mereka telah menukarkan wang dengan kasih sayang. Tanpa disedari mereka, wang yang banyak itulah yang telah menghanyutkan anak-anak mereka daripada matlamat hidup yang sebenar.

Perubahan cara hidup masyarakat turut menyumbang kepada masalah keruntuhan moral. Kehidupan masyarakat hari ini lebih mementingkan diri sendiri. Mereka tidak pernah mengambil endah hal yang berlaku di sekelilingnya. Apatah lagi untuk menegur tingkah laku anak jiran mereka. Faktor yang saling berkait ini menyumbang kepada gejala keruntuhan moral dewasa ini.

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya ibu bapa merenung kembali peranan dan tanggungjawab mereka dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak. Didikan agama merupakan benteng paling apuh untuk menyekat gejala keruntuhan moral ini. Selain itu, pihak sekolah dan media massa perlu menjalankan peranan yang lebih berkesan dalam menangani masalah ini. Kesedaran perlu dipupuk semasa anak-anak di bangku sekolah lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan